Bismillah Biiznillah.
Berjalan Sendiri - Sajak (ke?)
Hari ini aku berjalan sendiri,
Denai yang baru akan ku lalui,
Denai itu penuh dengan semak samun,
Mungkin ada bahaya yang berselindung di balik daun,
Namun kali ini aku nekad untuk berjalan,
Walaupun aku sendirian.
Jalan yang semalam masih terbayang,
Masih terdetik mengapa ku lepaskan,
Jalan yang penuh dengan pohon merimbun,
Ada teman yang menemani sepanjangnya,
Tetapi itu semalam.
Kali ini jalanku sendiri,
Tiada wajah mesra menerpa,
Tiada wakaf berehat yang selesa,
Tiada siapa yang memahami,
Mengapa kali ini aku pilih sendiri.
Namun aku percaya,
Aku juga doa,
Aku juga harap,
Jalan yang ini lebih bahagia,
Kerana kebahagian itu butuh pengorbanan,
Telah ku korbankan denai semalam,
Untuk berjalan sendiri di jalan ini.
Suatu hari akan ku lalui lagi denai semalam,
Untuk bertemu wajah mesra semalam,
Kali ini wajahku yang mesra,
Bukti jalan sendiri itu lebih bahagia.
Nukilan,
Subh Aurora yang kini berjalan sendiri.
13/08/2012 2:07pm 25 Ramadhan 1433
Sunday, 12 August 2012
Friday, 10 August 2012
Detik Menunggu Waktu Berbuka Puasa
Ah Keong merenung sebiji kurma berwarna hitam
keperangan yang dipegangnya.
“Inikah buah kurma yang orang Islam suka makan ketika
berbuka puasa?” soal Ah Keong sambil matanya terus merenung buah kurma itu seolah-olah
matanya boleh mengimbas struktur kurma itu sampai ke bijinya.
Usman menaikkan keningnya sebanyak dua kali,
tersenyum lalu mengangguk-angguk. Dia bertukar pandangan dengan Awang yang berada di sebelahnya.“Ya, inilah buah kurma yang kami makan sebagai hidangan pertama ketika berbuka puasa," jelas Awang sambil mengusap-ngusap janggut nipisnya.
Ah Keong mendekatkan buah kurma itu ke hidungnya, "Hmm, baunya tidak kuat, mungkin kerana buah kurma ini sudah dikeringkan," fikir Ah Keong. Dia memandang Usman dan Awang yang sedang berbisik-bisik seperti sedang berkomplot sesuatu.
"Apa yang kamu berdua sedang bisikkan itu? Seperti sepasang kekasih yang sedang berbisik ayat-ayat cinta sahaja saya tengok," tegur Ah Keong dengan kening yang berkerut-kerut. Usman dan Awang tergelak besar sambil bertepuk tampar sesama sendiri apabila mereka mendengar teguran daripada Ah Keong.
"Kami sebenarnya mahu memberitahu kamu keistimewaan buah kurma yang kamu pegang itu," jelas Usman sambil tersenyum-senyum seperti melihat bakal isteri di balik pintu.
Ah Keong mengecilkan matanya lalu merenung wajah Usman yang masih lagi tersenyum sebelum mengalihkan pandangannya ke arah Awang yang menundukkan kepalanya seperti menyembunyikan sesuatu.
"Apa keistimewaan buah kurma ini? Mengapa kamu berdua harus berbisik-bisik? Mengapa tidak terus beritahu saya sahaja tadi?" soal Ah Keong bertubi-tubi, lalu meletakkan buah kurma yang dipegang tadi ke atas piring.
"Sebenarnya, keistimewaan buah kurma yang kamu pegang tadi terletak pada namanya. Ya, bak kata orang, apa ada pada nama, tapi nama itu merupakan identiti, jati diri dan lambang sesebuah bangsa!" balas Usman dengan semangat sambil menggayakan tangannya seperti seorang pemidato sekolah menengah.
Awang mencubit perut Usman dengan kuat lalu berkata, " Kita sedang bercakap tentang kurmalah kawan, bukan tentang nasionalisme, lebih baik kamu beritahu Ah Keong tentang keistimewaan kurma ini sekarang." Usman menggosok-gosok bahagian perutnya yang dicubit oleh Awang tadi sambil membuat raut muka yang kasihan kepada Awang. Awang merenung tajam kepada Usman lalu Usman mengalah dan berkata, "Ah Keong, sekiranya kamu mahu tahu tentang keistimewaan buah kurma ini, kamu kena duduk di sebelah aku."
Ah Keong berkerut lagi, belum sempat dia bertanya apa-apa, Awang telah menarik tangannya lalu dia dipaksa duduk di antara Usman dan Awang. Dia berasa begitu janggal apabila dipaksa duduk di tengah-tengah dua lelaki.
Usman mengenyitkan matanya kepada Awang, Awang membalas kenyitan itu dengan mengenyit matanya sebanyak dua kali. Ah Keong resah memerhatikan perlakuan kedua sahabat itu yang mencurigakan, tidak semena-mena peluh jantannya memercik di bahagian dahi.
"Awang, engkau sudah sedia?" soal Usman sambil matanya merenung Ah Keong. Ah Keong seperti cacing kepanasan, dia ingin keluar dari dari tempat itu. "Ya, aku sudah sedia Usman!" jawab Awang, kali ini dia juga merenung Ah Keong. Ah Keong terasa seperti mahu pengsan, apakah yang bakal dilakukan oleh dua orang sahabatnya yang bertubuh sasa ini.
"Yusuf Taiyob...," bisik Usman dan Awang serentak, Usman di telinga kanan manakala Awang di telinga kiri. Ah Keong pada ketika ini sudah nampak mata putihnya. Secara tiba-tiba Ah Keong membeliakkan matanya, dia berasa geli apabila angin bisikan menggeletek lubang telinganya lalu dia ketawa dengan berdekah-dekah. Usman dan Awang turut tertawa sambil memegang perut masing-masing. Ah Keong yang melihat Usman dan Awang yang turut ketawa bersamanya, bertambah kuat tawanya sampai berair matanya. Usman pula ketawa sambil menepuk-nepuk lantai melihat Awang yang sudah terbaring di lantai akibat ketawa yang tidak henti-henti.
Gabungan tawa Ah Keong, Usman dan Awang telah membingitkan suasana di Asrama Putera, penghuni-penghuninya tertanya-tanya siapakah yang ketawa seperti dubuk Amerika pada waktu hampir berbuka ini. Dua penghuni di bilik bersebelahan hanya mampu tersenyum dan mengangkat bahu. Seorang penghuni berkopiah di bilik 301 hanya mampu menggeleng-geleng kepala sambil beristigfar panjang. Seorang lagi penghuni di hujung koridor tiada reaksi kerana matanya terpaku memandang nasi lemak ayam berempah di hadapannya.
Jarum jam terus bergerak menghampiri waktu berbuka puasa.
Ah Keong menyeka air mata dengan hujung lengannya manakala Usman sudah bersedia memegang piring kurma Yusuf Taiyob sambil tersengih melihat Awang yang masih lagi terbaring di hadapannya. Ah Keong menguis pinggang Awang dengan ibu jari kakinya, Awang tidak menghiraukan kuisan itu lalu menutup mukanya dengan kedua tangannya. Ah Keong hairan dengan perlakuan Awang lalu membuat isyarat mata kepada Usman. Usman mengangkat keningnya lalu meletakkan piring buah kurma tadi. Usman mendekati Awang dengan perlahan-lahan lalu mencubit perut Awang dengan kuat. Awang mengaduh kesakitan dan terus terduduk sambil menekan perutnya yang dicubit oleh Usman sebentar tadi. Ah Keong dan Usman senyum simpul sambil masing-masing meletakkan tangan di bahu Awang.
"Awang, mengapa kamu baring seperti orang yang sudah mati sebentar tadi?" soal Ah Keong sambil menepuk bahu Awang. "Itulah, siap tutup muka dengan tangan lagi," sambung Usman sambil cuba mencubit perut Awang lagi tetapi Awang terlebih dahulu menyedari niatnya lalu dia mencucuk perut Usman dengan jari telunjuknya. Usman mencebik dan mengangkat tangannya tanda mengaku kalah.
"Tidak ada apa-apa, aku cuma penat ketawa dengan kuat sampai perut aku sakit," jelas Awang sambil anak matanya cuma mengelakkan panahan pandangan mata Ah Keong dan Usman. "Lagipun aku sedang bermuhasabah, kita kan sedang berpuasa Usman, mana boleh kita ketawa macam hantu, itu namanya lagho!" ujar Awang sambil mengangguk-angguk seperti setuju dengan kenyataan diri sendiri.
Usman mengherotkan bibirnya tanda jengkel dengan penjelasan dari Awang, Ah Keong pula sekadar mengangkat bahunya.
"Nanti dahulu, apa itu lagho? Adakah lagho itu nama makanan untuk berbuka puasa?" tanya Ah Keong sambil memandang Awang yang sedang duduk tegap seperti duduk orang Jepun. Awang tersengih dan memandang Usman, Usman menjawab, " Lagho itu lalai, untuk pengetahuan kamu Ah Keong, lagho itu istilah bahasa Arab." Ah Keong membulatkan mulutnya lalu mengeluarkan bunyi huruf 'O' yang panjang dan mengangguk-angguk faham.
Tiba-tiba, hidung Usman terhidu bau hancing seperti air kencing manusia iaitu sejenis najis mutawasitah. Usman terdiam dan mengesyaki Awang telah terkencing kerana ketawa dengan begitu kuat sebentar tadi. "Patutlah Awang duduk diam sahaja di tempatnya, rupanya dia telah terkencing di dalam seluar," fikir Usman sambil tersenyum seorang diri seperti orang gila jalanan.
Tanpa bertangguh untuk mengenakan sahabatnya yang berasal dari negeri penyu bertelur itu, Usman menepuk bahu Awang lalu berkata, " Mengapa engkau duduk diam seperti sebuah bongkah batu? Apa engkau ingat aku tidak tahu yang engkau sudah terkencing di dalam seluar?"
Ah Keong yang mendengar tuduhan Usman terus memandang Awang sambil terlopong mulutnya.
Awang memandang Usman dan Ah Keong, dengan tenang dia cuba berbahasa, " Fitnah itu ibarat besi sejuta tan beratnya kerana ia sangat berat dosanya. Jangan engkau tuduh aku Usman, berdosa besar nanti!" Usman mencebik lalu bercekak pinggang, "Habis itu, apa yang berbau hancing ini? Engkau dari tadi statik sahaja di tempat yang sama jadi mesti engkau yang terkencing !"
Ah Keong hanya mendiamkan diri sambil memandang piring berisi buah kurma Yusuf Taiyob.
"Aku berdiam diri kerana aku bertafakur kepada ilahi, menyesali sikap lagho sebentar tadi. Usah engkau tuduh aku lagi, aku orang baik-baik!" jelas Awang sambil bangun bercekak pinggang.
"Kamu berdua, saya rasa bau hancing itu datang dari tandas kita. Kamu berdua sudah lupa tandas itu telah tersumbat selama dua hari. Tidak baik orang Islam bergaduh semasa dekat waktu berbuka puasa. Mari kita duduk dan menunggu azan supaya kamu berdua tidak 'lawo' lagi," pesan Ah Keong sambil memeluk Usman dan Awang dan membawa mereka duduk di hadapan kurma yang terhidang.
"Ah Keong, lagho bukan 'lawo', kamu tersilap sebut tadi," jelas Usman dan Awang serentak.
"Aiya saya tahulah, lidah cina saya memang tidak boleh menyebut bahasa arab seperti kamu berdua," kata Ah Keong sambil menjengilkan matanya.
Jarum jam bergerak ke nombor tujuh serentak dengan azan maghrib yang mula menyeru umat Islam untuk berbuka puasa. Ah Keong, Usman dan Awang masing-masing mula menggigit kurma Yusuf Taiyob dan menikmati buah sunnah itu sehingga piring itu dipenuhi pula dengan biji-biji kurma yang sudah dimakan.
"Kamu berdua, ini sahajakah juadah berbuka puasa orang Islam?" soal Ah Keong kelaparan kerana dia sebenarnya sedang belajar berpuasa bersama mereka berdua di bilik itu.
Usman memandang Awang, Awang tunduk menguis-nguis biji-biji kurma dengan jarinya lalu berkata, "Sebenarnya, kami ada mengirim nasi ayam dan kuih karipap dari Saiful yang pergi ke bazar ramadhan pukul 5 petang tadi." Usman pula menyambung dengan nada sedih, "Tetapi nampaknya ini sahaja juadah berbuka kita kerana Saiful masih belum pulang lagi pada saat ini."
Ah Keong hanya terdiam mendengar penjelasan dari Usman dan Awang.
Ketiga-tiga sahabat sebilik itu tunduk kesedihan memikirkan perut mereka yang berkeroncong tanda kelaparan ditambah pula tiada sebarang makanan pun yang disimpan di dalam bilik melainkan air kosong dalam botol yang diisi di water cooler di hujung koridor. Ah Keong pasrah memandang biji-biji kurma di piring.
"Assalamualaikum!"
Salam diberi dan ketiga-tiga sahabat itu mengangkat kepala mereka dan memandang ke arah pintu. Mereka terperanjat melihat ramai penghuni Asrama Putera berdiri di hadapan pintu bilik mereka sambil menjinjing beg plastik dan bekas tupperware.
"Wahai penghuni bilik 310, kami mendengar rintihan batinmu dan rintihan perutmu juga!" kata penghuni bilik 301 yang berkopiah putih sambil tersenyum.
"Kami datang membawa nasi dan kuih muih untuk dikongsi bersama!" sahut satu suara dari belakang pemuda berkopiah itu.
"Itulah, bagus juga kamu semua tidak menutup pintu bilik, satu asrama mendengar dialog drama bilik 310!" kata dua orang penghuni bilik 311 serentak.
Ah Keong, Usman dan Awang tidak mampu bersuara dan hanya mampu memandang khalayak penghuni di hadapan bilik mereka.
"Apa lagi, jemputlah masuk semua!" ajak pemuda berkopiah itu sambil melangkahkan kakinya ke dalam bilik itu. Para penghuni Asrama Putera mula mengambil tempat di dalam bilik itu. Mereka saling menghulurkan juadah sesama mereka dan Ah Keong dapat merasa nasi untuk melegakan perutnya yang baru pertama kali berpuasa.
Ah Keong terharu melihat semangat kejiranan yang ditunjukkan oleh rakan-rakan Islam di asrama itu. Dia mengunyah nasi ayam dengan senyuman. Suasana di dalam bilik 310 sungguh muhibah walaupun mereka makan dalam keadaan berhimpit-himpit sesama sendiri. Usman dan Awang berkongsi nasi lemak ayam berempah yang diberikan oleh penghuni dari bilik di hujung koridor.
Sedang mereka begitu enak menikmati juadah beramai-ramai, tiba-tiba lampu bilik terpadam menjadikan bilik itu gelap seperti di dalam pawagam. Semua orang menghentikan kunyahan dan terdiam. Suasana disitu terlalu senyap sehingga bunyi jam yang berdetik pun bisa kedengaran seperti sungguh kuat.
Pemuda berkopiah putih tersenyum nakal dalam kegelapan. Dia tiba-tiba berdiri lalu mengeluarkan suara separa berbisik, "Yusuf Taiyob...."
Mendengar sahaja bisikan yang melucukan itu, penghuni Asrama Putera ketawa beramai-ramai dalam kegelapan yang sebenarnya bersinar dengan ukhuwwah para penghuninya.
"Haiya, itu lagho!" jerit satu suara pelat Cina, kali ini berjaya menyebut perkataan lagho dalam pelatnya.
Tamat
Wani Yusof,
4 jam 10 minit sebelum berbuka dengan kurma Yusuf Taiyob (berbisik).
Subscribe to:
Comments (Atom)